24 August, 2022
PETALING JAYA: Pemaju hartanah Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) memulakan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 dengan kukuh apabila keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2022 melonjak 51.6 peratus kepada RM46.2 juta daripada RM30.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil kumpulan turut melonjak 40.3 peratus kepada RM229.3 juta daripada RM163.4 juta tahun lepas.
Prestasi yang lebih baik itu didorong peningkatan ketara dalam sumbangan hasil daripada hartanah kediaman dan komersial kumpulan, terutamanya daripada Sendayan Developments serta jualan hartanah perindustrian di Sendayan TechValley.
Kumpulan juga mencatatkan jualan hartanah baharu yang sihat sebanyak RM309.2 juta pada suku pertama 2023, meningkat 2.7 peratus daripada RM300.9 juta sebelumnya.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin dalam kenyataan berkata, peningkatan menyeluruh dalam prestasi suku yang dilaporkan menunjukkan prospek pertumbuhan yang positif, walaupun daripada kesan asas yang rendah pada suku pertama 2022 yang terjejas akibat pandemik.
Ujarnya, pertumbuhan dicapai di tengah-tengah pengiktirafan hasil yang lebih perlahan daripada jangkaan disebabkan kesan kekurangan buruh terhadap kemajuan projek serta tekanan inflasi ke atas harga bahan mentah.