01 January, 2022
KUALA LUMPUR: Penaja Persatuan Bola Keranjang Negeri Sembilan (NS), Datuk Seri Lee Tian Hock mengotakan janjinya apabila memberi ganjaran pangsapuri servis bernilai RM280,000 kepada pemain dan jurulatih pasukan NS Matrix.
Ganjaran lumayan yang diterima sembilan pemain dan dua jurulatih itu adalah susulan kejayaan pasukan terbabit muncul juara Piala Agong MABA/MATRIX buat kali ketiga berturut-turut.
Mereka menerima pangsapuri servis SOHO di Horizon Suites, Bandar SunSuria, Sepang beserta dengan wang tunai RM10,000 untuk setiap seorang dalam satu majlis di lokasi berkenaan hari ini.
Tian Hock yang juga pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad mengumumkan sistem ganjaran untuk pasukan bola keranjang NS Matrix pada 2016 selepas pasukan lelaki memenangi Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong MABA/MATRIX ke-58 di Bintulu, Sarawak.
Sistem ganjaran itu bagi menggalakkan pemain untuk terus berjuang dan berusaha menjulang piala dalam mendapatkan pulangan yang lebih baik untuk diri sendiri selain kekal fokus kepada latihan serta kejohanan.
Pasukan NS Matrix sudah memenangi Piala Agong MABA/MATRIX buat kali keempat berturut-turut pada 2019 di Kuala Lumpur dan ia juga kejohanan terakhir sebelum penularan wabak COVID-19.
Kejohanan akan kembali berlangsung pada tahun ini.

