18 December, 2024
SEREMBAN: Projek MVV City bakal membawa perubahan dan impak besar kepada pembangunan di kawasan sekitar termasuk sempadan di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pembangunan akan datang dijangka tertumpu di kawasan MVV City.
“Pembangunan pastinya akan tertumpu di kawasan ini kerana kelulusan (projek) telah ada dan yakin ia akan melimpah di kawasan sempadan khususnya di Selangor.
“Saya yakin dan percaya, tahun 2025 akan membuka lembaran baharu dari segi pembangunan di Negeri Sembilan dengan bermulanya projek MVV City,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah MVV City di Tapak MVV City dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pengerusi Matrix Concepts Holdings Bhd, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin.
MVV City adalah kawasan perbandaran pertama seumpamanya dalam konurbasi Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) bagi mentransformasikan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang strategik dalam menarik minat pelabur antarabangsa dan tempatan.
Projek MVV City membabitkan kerjasama strategi awam-swasta antara Perbadanan NS dengan Matrix Concepts.
Ia merangkumi beberapa sektor pembangunan termasuk perumahan, komersial dan industri, serta pusat pendidikan dan inovasi serta yang sebagai pencapaian baharu pembangunan di Negeri Sembilan.
Projek MVV City meliputi kawasan seluas 8,796 ekar dengan fasa pertama pembangunan membabitkan kawasan 2,382 ekar dan pelaburan awal sebanyak RM15 bilion.
Ia bakal menyediakan 1,000 ekar ruang perindustrian, lebih daripada 15,000 unit kediaman dan 174 ekar lot komersial, dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM15 bilion dalam tempoh 12 tahun.
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Negeri Sembilan berkata, projek pembangunan MVV City menerima sambutan yang baik daripada pelabur tempatan.
“Setakat ini, sambutan daripada pelabur tempatan adalah amat baik dan mereka dilihat yakin dengan pembangunan kawasan ini.
“Mereka mula memberikan sokongan walaupun ia hanya majlis pecah tanah.
Ini memberikan petanda yang baik bagi pembangunan di sini walaupun ia belum diuar-uarkan bagi pasaran luar,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Haslah berkata Matrix Concepts, dengan pengalaman luas membangunkan Bandar Sri Sendayan, akan berusaha mengaplikasikan kepakaran terbaik untuk membentuk MVV City sebagai bandar pintar dan hijau baharu.
Beliau berkata, MVV City bakal menampilkan pusat komersial bertaraf ikon, zon perindustrian, institusi pendidikan, kediaman pintar, kawasan hijau dan pusat kesihatan semula jadi, pusat sukan moden, kelab tasik berkonsepkan resort, taman pusat dan kawasan ekologi.
Katanya, projek ini juga selaras dengan prinsip menitikberatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), menjadikannya model bandar masa depan yang inovatif dan mampan.
“Melalui pelaburan berpotensi tinggi dari sudut hartanah, MVV City adalah kesinambungan kejayaan Matrix Concepts yang menjanjikan pulangan pelaburan yang besar.
“Lokasi strategik, jaringan pengangkutan dan pelbagai kemudahan yang dirancang bakal meningkatkan nilai projek ini,” katanya.

