Menu

Berita Harian

24 August, 2022

Matrix Concepts raih keuntungan RM47.04 juta

The Story.

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Matrix Concepts Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2022 meningkat kepada RM47.04 juta daripada RM31.69 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil melonjak 40.3 peratus kepada RM229.26 juta daripada RM163.44 juta sebelumnya.​

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata peningkatan hasil terutama disebabkan sumbangan sebanyak RM201.9 juta daripada produk kediaman dan komersial kumpulan, peningkatan 32.5 peratus secara tahunan.

“Ini selaras dengan ketiadaan sekatan untuk beroperasi akibat COVID-19 yang dialami sebelum ini sepanjang suku yang sama berakhir 30 Jun 2021.

“Prestasi hasil kumpulan seterusnya disokong oleh sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada produk perindustriannya di Sendayan TechValley, dengan sejumlah RM17.5 juta diiktiraf pada suku terbabit, peningkatan sebanyak 451.1 peratus atau RM14.3 juta daripada sebelumnya,” katanya.​

Kumpulan itu berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran yang dialami oleh pasaran hartanah dan ekonomi Malaysia secara umum, ia berjaya mencatatkan jualan hartanah baharu yang lebih baik sebanyak RM309.2 juta bagi suku terbabit kerana ia memfokuskan kepada segmen premium mampu milik yang terus mendapat manfaat daripada permintaan yang sihat.​

Sementara itu, kumpulan itu menyatakan bahawa jualannya yang belum dibilkan sebanyak RM1.3 bilion pada 30 Jun 2022 memberikan kejelasan pendapatan yang kukuh dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang.

Melangkah ke hadapan, Matrix Concepts berkata, ia yakin namun berhati-hati dalam mengekalkan prestasi yang lebih baik pada tahun kewangan 2023, disokong oleh permintaan yang menggalakkan untuk pembangunan yang sedang berjalan, pemulihan ekonomi yang berterusan dan persekitaran kadar faedah yang rendah walaupun terdapat semakan dalam kadar dasar semalaman kepada 2.25 peratus yang diumumkan pada 6 Julai 2022 oleh Bank Negara Malaysia (BNM).