15 November, 2023
KUALA LUMPUR: Kumpulan AmBank memberikan kemudahan pembiayaan bernilai RM512 juta kepada Matrix Concepts Holdings Bhd bagi pembangunan projek hartanah mampan di Malaysia Vision Valley 2.0.
Pembiayaan itu adalah bagi membolehkan Matrix Concepts melaksanakan projek pembangunan di kawasan berkeluasan 1,382.2 ekar di Malaysia Vision Valley 2.0 yang terletak antara Selangor dan Negeri Sembilan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata pihaknya teruja menjadi bank utama pembiayaan projek Matrix Concept dan kerjasama strategik itu turut menandakan kejayaan penting bagi kumpulan dalam perjalanan projek.
Selain itu, katanya dengan tumpuan global yang semakin meningkat terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), adalah penting bagi organisasi untuk memulakan projek yang mampan seperti pembangunan rumah mampu milik, yang meningkatkan status sosio-ekonomi negara.
“Kami sedar akan tanggungjawab sebagai warga korporat dalam menyumbang ke arah pertumbuhan holistik dan pembangunan mampan.
“AmBank mengiktiraf keperluan untuk pilihan pembiayaan yang boleh diakses untuk memperkasakan perniagaan dalam usaha mereka ke arah pembangunan mampan.
“Pembangunan yang meluas ini bukan sahaja pelaburan dalam hartanah tetapi pelaburan dalam masa depan yang lebih mampan dan inklusif,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian pembiayaan di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin; Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank, Christopher Yap dan Pengasas serta Timbalan Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.
Sementara itu, Mohamad Haslah berkata dengan penyempurnaan kemudahan pembiayaan daripada AmBank, Matrix Concepts kini berada dalam kedudukan yang baik untuk menumpukan perhatian sepenuhnya ke arah mewujudkan perbandaran yang bertenaga, selamat dan dipacu masyarakat.
Beliau berkata, di samping itu ia dapat memenuhi aspirasi Matrix Concepts sebagai pembekal rumah berkualiti pada harga yang menarik.
“Usaha ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan penting untuk Matrix Concepts, mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemaju perbandaran terkemuka di samping memperkasakan dalam memajukan landskap sosio-ekonomi komuniti yang didedikasikan.
“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan AmBank atas sokongan tidak berbelah bahagi dan komitmen bersama mereka terhadap misi berterusan kami untuk meningkatkan amalan ESG yang telah menjadi komponen utama strategi kumpulan,” katanya.
Tian Hock pula berkata, kira-kira 80 peratus pembiayaan daripada AmBank itu akan digunakan bagi pembelian tanah, manakala baki akan digunakan bagi tujuan pembangunan dan simpanan.
Beliau berkata, projek hartanah Matrix Concepts itu dijangka akan bermula tahun depan dan akan berjalan untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Katanya, projek hartanah Matrix Concepts di Malaysia Vision Valley 2.0 itu dijangka akan menyumbang sekitar 60 hingga 70 peratus kepada pendapatan kumpulan bermula pada 2028.
“Projek hartanah di Malaysia Vision Valley 2.0 adalah usaha sama antara N9 Matrix Development Sdn Bhd, anak syarikat Matrix Concepts dan syarikat milik Negeri Sembilan, NS Corporation. Projek hartanah ini dianggarkan akan membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7 bilion.
“Malaysia Vision Valley 2.0 akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan datang dan disasarkan menjadi metropolis bertaraf dunia yang berdaya saing serta inklusif dengan penekanan yang kuat terhadap penggunaan teknologi bersih,” katanya.

