25 May, 2023
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) mencatatkan untung bersih RM208.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023, meningkat 1.6 peratus berbanding RM200.9 juta tahun sebelumnya.
Keuntungan yang kukuh itu didorong oleh pertumbuhan pendapatan sebanyak 25.2 peratus kepada RM1.1 bilion berbanding RM892.4 juta tahun sebelumnya, disokong sumbangan terutamanya daripada pembangunan kumpulan yang baru siap, The Chambers dan M. Greenvale di Lembah Klang dan Australia.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2023, pendapatan kumpulan meningkat 20.5 peratus kepada RM302.2 juta berbanding RM250.8 juta sebelumnya.
Bagaimanapun, keuntungan bersih berjumlah RM54.6 juta, merosot 10.1 peratus berbanding RM60.7 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun lalu, berikutan sumbangan margin yang lebih rendah daripada pembangunan Lembah Klang kumpulan dan pengurangan sumbangan pendapatan daripada hartanah perindustriannya.
Kumpulan juga berjaya mencapai sasaran jualan hartanah baharunya sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun kewangan 2023 daripada pembangunan di Malaysia, disumbangkan oleh hartanah premium mampu milik dengan nilai dan kualiti tinggi yang ditawarkan di perbandaran kumpulan di Sendayan Developments.
Selain itu, kumpulan memperoleh 100 peratus kadar ambilan untuk pembangunan kedua di Australia, M. Greenvale.
Setakat 31 Mac 2023, jualan belum dibil kumpulan meningkat 11.5 peratus kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.3 bilion sebelumnya, memberikan keterlihatan pendapatan untuk 15 hingga 18 bulan akan datang.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin dalam satu kenyataan berkata, prestasi jualan yang kukuh pada tahun kewangan 2023 menunjukkan pemahaman yang mendalam mengenai keperluan pelanggan, digabungkan dengan aktiviti jualan yang berkesan melalui pelancaran produk di lapangan dan digital.
Beliau berkata, pelancaran hartanah baharu di Sendayan Developments baru-baru ini telah mencapai kadar pengambilan yang tinggi melebihi 90 peratus secara purata dalam tempoh tiga bulan.
“Kami percaya bahawa permintaan yang kukuh akan dikekalkan pada masa hadapan, dan kami akan terus mengukuhkan kehadiran kami di Negeri Sembilan serta mengenal pasti peluang simpanan tanah untuk melengkapkan capaian semasa kami,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, Mohamad Haslah berkata, pihaknya optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek dan merancang dengan lebih banyak pelancaran hartanah untuk memanfaatkan keadaan pasaran yang bertambah baik.
“Kami kekal berhemat dalam mengendalikan ketidaktentuan pasaran tetapi menjangkakan prestasi berdaya tahan bagi tahun kewangan 2024, dengan kami mempercepatkan kerja-kerja pembinaan untuk projek kami dengan peningkatan tenaga kerja,” katanya.