22 February, 2022
SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) mencatatkan jualan hartanah baharu sebanyak RM998 juta bagi tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini sekaligus optimis ke arah landasan tepat ke tahap sebelum pandemik.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, walaupun berdepan cabaran besar seperti pemaju hartanah lain, kumpulan ini mampu berjaya mencatat pertumbuhan dan memberi pulangan menarik kepada pemegang saham.
“Walaupun kami menghadapi cabaran ketika memulakan tahun kewangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun prestasi lebih tinggi ini mampu tercapai.”
Matrix Concept juga telah merekodkan jualan hartanah baharu sebanyak 35.5 peratus kepada RM356.7 juta berbanding RM263.2 juta sebelumnya, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan sejak awal tahun kewangan semasa.
Ia disebabkan permintaan kukuh untuk kediaman hartanah di Sendayan Developments terutamanya di Seremban,” katanya dalam kenyataan, semalam. Menurutnya, jualan yang dicatatkan dalam tempoh dikaji itu adalah 15.3 peratus lebih tinggi berbanding RM865.3 juta tempoh sama tahun sebelumпуа.
“Pencapaian jualan hartanah baharu ini bersamaan dengan 83.2 peratus sasaran setahun penuh Kumpulan sebanyak RM1.2 billion,” katanya.