Menu

Berita Harian

19 April, 2025

Matrix Concepts berjaya pulihkan Mawar Medical Centre (MMC)

The Story.

Penerokaan Matrix Concepts Holdings Bhd dalam sektor penjagaan kesihatan menerusi pengambilalihan Mawar Medical Centre (MMC) di Seremban membuahkan hasil memberangsangkan. MIDF Research dalam satu nota penyelidikan berkata, Matrix Concepts menceburi bidang penjagaan kesihatan pada 2019 melalui pengambilalihan hak pengurusan selama 30 tahun ke atas MMC yang ketika itu sedang ‘sakit’. Ia berkata, dalam tempoh singkat hanya empat tahun, pusat perubatan itu berjaya melakukan pemulihan yang ketara, daripada mencatat kerugian sebelum cukai pada tahun kewangan 2020, MMC kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2023, dengan peningkatan pendapatan berterusan dalam tahun kewangan 2024. Katanya, kejayaan itu dicapai melalui pelan penstrukturan semula yang menyaksikan peningkatan kapasiti katil daripada 30 kepada 88 katil setakat separuh pertama tahun kewangan 2025. “Pada masa sama, kadar pengisian katil melonjak daripada kurang 30 peratus pada tahun kewangan 2020 kepada 83 peratus pada tahun kewangan 2024, menunjukkan peningkatan kepercayaan pesakit dan kecekapan operasi,” katanya. Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, pelaburan besar dalam teknologi perubatan dan infrastruktur meningkatkan lagi perkhidmatan MMC. Menurutnya, dalam tempoh lima tahun lalu, pusat itu telah menambah peralatan canggih termasuk mesin Fibro Scan, mesin MRI berukuran 70 sentimeter dan sistem Angiografi terkini GE Allia IGS 530S. Katanya, peningkatan itu bukan saja meningkatkan kualiti rawatan, malah menjadikan MMC sebagai kemudahan moden dan serba lengkap yang mampu memenuhi pelbagai keperluan perubatan. Jelasnya, pembaikan turut membabitkan kemudahan wad, dengan harga yang berpatutan tanpa mengorbankan keselesaan. “Kadar harga bilik bermula daripada RM100 untuk bilik empat katil sehingga RM250 untuk bilik tunggal, sejajar dengan misi MMC untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang mampu milik kepada komuniti.

Pelaksanaan Diagnosis-Related Groups (DRG) yang dijangka akan mengawal bil hospital swasta dijangka tidak memberi kesan besar kepada MMC, memandangkan kadar caj pusat ini kekal rendah dan di bawah had maksimum,” katanya. Mengenai prospek menuju ke depan, MIDF Research berkata, dalam sembilan bulan tahun kewangan 2025, MMC menyumbang kira-kira tujuh peratus kepada jumlah pendapatan Matrix Concepts. Ia berkata, sumbangan pendapatan daripada pusat perubatan dijangka meningkat, disokong oleh pelan pengembangan untuk meningkatkan kapasiti katil dan disiplin perubatan. Katanya, kapasiti katil dijadualkan meningkat kepada kapasiti maksimum sebanyak 106 katil daripada 88 katil pada masa ini. “Sementara itu, fasa pengembangan seterusnya ialah perancangan di atas tanah seluas 0.69 hektar bersebelahan dengan MMC, sementara itu ortopedik adalah disiplin menjana pendapatan utama di MMC dan pengurusan kekal fokus kepada disiplin itu di samping mengembangkan ahli kardiologi. “Secara keseluruhan, pelan pengembangan itu membolehkan MMC untuk memenuhi permintaan kukuh bagi penjagaan kesihatan mampu milik di Negeri Sembilan,” katanya.