14 April, 2025
RHB Invesment Bank neutral dengan pemerolehan terbaharu Matrix Concepts Holdings Berhad daripada pengasasnya dan pihak berkaitan serta percaya ini akan mengubah profil risiko perniagaan syarikat secara beransur-ansur. Bank pelaburan berkata, selepas pengambilalihan, Matrix Concepts akan mempunyai pendedahan yang lebih tinggi kepada pasaran hartanah Selangor, yang lebih kompetitif pada pendapatnya. “Matrix Concepts mengumumkan pemerolehan 50 peratus pegangan dalam Horizon L&L untuk RM48.5 juta, 100 peratus kepentingan dalam Exoland Property Management untuk RM19.4 juta dan i30 peratus pegangan dalam Horizon L&L (SEL) untuk RM10 juta (secara kolektif dipanggil HLL Group). “Pengambilalihan ini dengan nilai keseluruhan RM77.9 juta adalah daripada pengasasnya dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Lee Tian Hock dan pihak berkaitan dan akan dilaksanakan sepenuhnya melalui dana dalaman. “Cadangan pengambilalihan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham,” katanya dalam nota penyelidikan. Bank pelaburan neutral dengan pengambilalihan terkini, memandangkan syarikat itu telah pun bertapak kukuh di Negeri Sembilan dan jualan hartanah serta margin keuntungan yang diperoleh daripada perbandaran Sendayan adalah konsisten. “Selepas pengambilalihan, pendedahan Matrix Concepts kepada pasaran Lembah Klang akan berada pada 10 peratus daripada jumlah baki nilai pembangunan kasar (GDV).
“Pasaran hartanah di Kuala Lumpur dan Selangor lebih berdaya saing pada pandangan kami, dan kami memahami bahawa pihak pengurusan juga berhasrat untuk mengekalkan kehadiran mereka di Kawasan Sepang dan Banting apabila Kumpulan HLL berkembang dalam jangka panjang,” ujarnya. RHB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.72 sesaham yang lebih rendah daripada RM1.81. “TP baharu kami adalah berdasarkan diskaun yang lebih besar kepada nilai aset bersih dinyatakan semula (RNAV) sebanyak 25 peratus (daripada 20 peratus) untuk mencerminkan risiko pasaran semasa yang timbul daripada dasar tarif timbal balik Presiden AS Donald Trump serta profil risiko baharu Matrix Concepts,” ujarnya.
