Menu

Berita Harian

11 May, 2023

Cawangan Baharu Mcdonald’s Di Bandar Sri Sendayan

The Story.

KUALA LUMPUR: Matrix Concepts Holdings Bhd menjalin kerjasama strategik dengan pengendali rangkaian makanan segera terbesar dunia, McDonald’s yang memilih Bandar Sri Sendayan (BSS) sebagai lokasi untuk cawangan terbaharunya.

Perjanjian kerjasama strategik itu ditandatangani baru-baru ini oleh Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Ho Koon Soon dan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi McDonalds Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.

Mengulas kerjasama strategik itu, Kong Soon berkata, kehadiran McDonald’s ke Bandar Sri Sendayan (BSS) adalah bukti kemeriahan dan kematangan perbandaran itu serta mempertingkatkan gaya hidup kemudahan bagi mereka yang berada di kawasan itu.

Beliau berkata, kerjasama dengan rangkaian makanan segera McDonald’s Malaysia disusun sebagai sebahagian daripada rancangan berterusan bersama-sama dengan beberapa siri inisiatif untuk mempertingkatkan lagi kemampanan perbandaran untuk mengekalkan kekukuhannya.

“Langkah strategik ini pastinya akan memberi manfaat kepada lebih 120,000 penduduk di seluruh kawasan pembangunan Sendayan dan disasarkan bersedia untuk perniagaan pada separuh pertama 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

McDonald’s bersedia untuk membuka restoran baharu di Sendayan Merchant Square, lengkap dengan kemudahan makan di dalam dan pandu lalu.

Restoran itu akan dibina di atas tanah seluas 21,000 kaki persegi di dalam hab gaya hidup komersial seluas 40.47 hektar.

Hab gaya hidup komersial itu sudah mempunyai pelbagai tarikan lain termasuk d’Tempat Country Club, Matrix Global Schools, Sendayan X-Park, stesen minyak Petron dan pejabat kedai runcit.

Dengan lokasi utama dan kemudahan yang selesa, restoran McDonald’s yang baharu bersedia untuk menjadi destinasi kegemaran masyarakat.

Bermula pada 1996 sebagai firma hartanah kecil di Negeri Sembilan, Matrix Concepts membina projek sulungnya sebanyak 595 unit kediaman dan komersial di Bahau, Negeri Sembilan.

Pada masa ini, Matrix Concepts mempunyai pelbagai perniagaan iaitu pembangunan hartanah, pembinaan, pendidikan dan hospitaliti.